Luahan Panel Temuduga - IIUM Confessions - Share your secret stories

Luahan Panel Temuduga

- 8:11 am
Assalamualaikum semua. Terima kasih kepada admin yang membenarkan coretan saya ini disiarkan demi kemajuan dan peningkatan kesedaran masyarakat Malaysia terutamanya generasi muda. Pada zaman yang serba mencabar ini, pencarian pekerjaan adalah amat sukar dan persaingan amat sengit antara calon yang dipanggil untuk ditemuduga. Ada kalanya peluang untuk mendapatkan jawatan tersebut tak sampai satu peratus pun. Jadi bayangkanlah persaingan yang berlaku sekarang ini.

Saya sangat terpanggil untuk berkongsi pengalaman dan pendapat mengenai senario sesi temuduga tidak kira sektor kerajaan atau swasta kerana majoriti yang hadir temuduga TIDAK mencapai standard yang dikehendaki dalam temuduga tersebut. Saya pernah menemuduga calon yang datang daripada pelbagai latarbelakang keluarga dan pendidikan. Bermacam-macam kerenah calon yang saya dapat lihat dan amat mengecewakan. Tawaran untuk ditemuduga adalah satu PELUANG KEEMASAN untuk membuktikan diri kita benar-benar layak untuk mendapatkan jawatan tersebut.

Namun sayangnya, ramai calon tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk ‘mempromosikan’ kelebihan dan bakat mereka dalam sesi temuduga. Sebab apa saya katakan begitu? Kerana soalan-soalan yang diberi biasanya perkara di sekitar pengetahuan calon dan boleh dijawab dengan baik dengan persiapan rapi. Tapi ini tidak berlaku untuk sesetengah calon. Mereka berharap untuk dapat menyandang jawatan itu tetapi usaha tidak setimpal dengan harapan mereka.

Luahan Panel Temuduga
Luahan Panel Temuduga
Benar saya katakan amat rugi tidak membuat persediaan rapi. Tambahan pula tidak dapat menjawab soalan-soalan asas. Mana mungkin berjaya. Di situ pun calon boleh menilai markahnya sendiri kerana gagal menjawab soalan asas. Soalan seperti skop tugas, tanggungjawab, latarbelakang syarikat semuanya itu perlu dihafal umpama sifir. Hafal sampai hadam semua supaya dapat menjawab dengan baik. Ambil masa ulang dan ulang semula untuk mengingati maklumat tersebut.

Calon juga kurang membaca dan mengambil tahu isu semasa. Tips yang mudah untuk sentiasa tahu isu semasa adalah bila dapat surat panggilan temuduga, esoknya sehingga tarikh temudaga bacalah surat khabar sampai habis setiap hari. Sekurang-kurangnya ikut isu yang sentiasa keluar dalam tajuk utama. Jadi bila penemuduga bertanya hal isu semasa dalam kepala dah tau apa yang berlaku dalam masa terdekat.

Untuk calon yang terlalu sibuk, nak tak nak tolonglah buat persediaan untuk temuduga jika SUNGGUH-SUNGGUH mahukan jawatan itu. Panel tak dapat terima alasan sibuk sampai tak sempat baca apa-apa pun. Calon hanya mampu minta maaf tapi semua itu TIDAK BAWA APA-APA MARKAH. Kami perlu adil dengan calon lain yang lebih bersedia dan bersungguh-sunguh. Kalau calon mengakui tidak baca apa-apa, maaf kata peluang anda sudah kabur ketika itu. Sayang seribu kali sayang.

Perasaan cemas semasa temuduga itu biasa. Tetapi sesiapa yang berjaya mengawal atau mengatasi perasaan tersebut akan lebih berkeyakinan. Sifirnya mudah. Ilmu pengetahuan + keyakinan + berketerampilan = peluang cerah. Kurang satu faktor akan menjejaskan markah. Postur tubuh yang baik, pandangan mata yang berpengaruh dan intonasi suara yang jelas perlu diberi perhatian. Penemuduga akan menilai semua ini. Usaha, personaliti dan komunikasi yang baik sangat penting dalam temuduga.

Sediakan resume yang menarik dan memudahkan penemuduga membaca. Tulisan dalam resume pastikan jelas dan dicetak dengan sempurna. Susun dokumen mengikut turutan yang disebutkan dalam notis panggilan temuduga. Lebih bagus jika dilabelkan untuk memudahkan semakan penemuduga. Gunakan fail yang masih elok. Semua ini menggambarkan personaliti calon dalam sesi temuduga tersebut.

Ya memang panel tidak mengenali calon secara peribadi tetapi personaliti calon boleh terserlah dengan pembawaan dirinya di sesi temuduga tersebut. Cara beri salam, cara duduk, cara letak dokumen, cara bercakap, bahasa badan, pakaian – semuanya menyerlah sikap dan personaliti calon. Kalau perlu berlatih olok-olok temuduga di rumah, buatlah sebagai persediaan menghadiri sesi temuduga. Temuduga ibarat ‘mempromosi diri supaya dibeli’. Jadi sebaik mungkin serlahkan personaliti yang baik dan bersedia dengan ilmu pengetahuan yang mencukupi dalam minda.

Maaflah jika coretan saya ini mengguris hati sesiapa tetapi sebenarnya saya lebih terkilan melihat calon yang acah-acah nak kerja tersebut tetapi usaha tak setara mana. RUGI SANGAT. Usah bazirkan peluang yang diperolehi. Lebih malang berkali-kali peluang temuduga diberi tetapi masih syok sendiri. Pada ketika ini tidak sukar untuk saya memilih calon yang berpotensi kerana sangat sedikit bilangannya. Jadi tolonglah tingkatkan usaha jika ingin DIPILIH oleh panel temuduga. Semoga berjaya!

– Panel X

Ingin menghantar confessions anda? Sila klik disini
Advertisement
 

Start typing and press Enter to search