Tip Ikhlas Tidak Pernah Gagal Temuduga

- 9:12 pm
Saya mula melangkah ke alam pekerjaan 9 tahun lepas. Syarikat sekarang adalah majikan saya yang ke 4. Bertukar-tukar kerja adalah perkara biasa bagi pekerja bidang swasta, tetapi saya tidak mahu menghurai panjang kenapa kerap bertukar kerja sebaliknya mahu berkongsi tips temuduga “insyaAllah lulus” dengan adik-adik yang baru mahu menjejak kaki ke alam pekerjaan. Sejujurnya, sepanjang 9 tahun dan bertukar 4 syarikat, saya banyak menerima jemputan temuduga di kebanyakan syarikat-syarikat besar, dan 99% darinya saya tidak pernah gagal! Hanya gagal sekali disebabkan semasa sesi temuduga baru mereka memaklumkan saya mereka akan berpindah lokasi pejabat dan saya memberi jawapan saya tidak bersedia untuk berpindah.

Tip Ikhlas Tidak Pernah Gagal Temuduga
Tip Ikhlas Tidak Pernah Gagal Temuduga
(Tips di bawah untuk syarikat swasta bertaraf nasional/antarabangsa. Mungkin tidak sesuai untuk syarikat kecil, tapi anda masih boleh mencubanya. )

1. Resume

– Resume mestilah kemas dan ringkas, dan jikalau memohon kerja di Syarikat swasta, amat disarankan resume dalam Bahasa Inggeris. Alamat email untuk permohonan kerja mestilah formal (Nama penuh adalah digalakkan ; bukan minahcun@gmail.com atau mat_top@yahoo.com ). Ini menunjukkan tahap kematangan anda.

Tips format mudah untuk resume : Daftar sebagai ahli Jobstreet, isi resume online di website tersebut, save sebagai words document, download, periksa ejaan dan tatabahasa, edit footer (buang Jobstreet.com), save dan sebolehnya convert kepada PDF file,

untuk tujuan permohonan online. (PDF format nampak lagi kemas dan professional )

2. Komunikasi semasa memohon kerja
(Medium: Email, perbualan telefon ataupun whatsapp/media sosial )

– Bahasa ketika berkomunikasi mestilah formal. Ketika bercakap dengan telefon, email atau whatsapp / facebook chat sekalipun. Gunakan kata ganti nama “saya – Cik/Puan, Encik/Tuan, Miss dan lain-lain.

Kisah benar : Ada yang guna “sis” sana sini ibarat mahu membeli barang online; dan ada yang guna nama sendiri sebagai kata ganti nama.

Tips lagi : Adalah digalakkan untuk menyediakan Cover Letter formal yang ringkas. (bagi tujuan permohonan melalui email). Apa itu cover letter? Sila “google” contoh di internet.

4. Temuduga.

Pastikan anda mendapat maklumat lengkap temuduga seperti tempat, masa dan skop pekerjaan yang di minta.

– Sediakan sekurang-kurangnya 3 set resume, dan sijil-sijil fotokopi, beberapa set. Sijil Original boleh dibawa dalam 1 folder/fail, dan salinan fotokopi boleh dibuat beberapa set, kemaskan dengan klip kertas.

– Datang selewat-lewatnya 30 minit sebelum masa temuduga. Kebanyakan pejabat-pejabat besar, anda perlu membuat pendaftaran sebagai pelawat terlebih dahulu. Jika sekuriti yang agak ketat, anda perlu mendaftar 2 kali, di pondok jaga dan di meja sekuriti/front desk, memerlukan kad pelawat untuk naik ke tingkat atas dan sebagainya. Jadi agak memerlukan masa di sini.

– Biasanya mereka yang berurusan dengan anda berkenaan maklumat temuduga adalah HR/bahagian pengambilan pekerja, jika anda berkomunikasi melalui whatsapp, sila maklumkan yang anda sudah sampai di ruang tamu pejabat, contohnya, dan mereka boleh memberi arahan sama ada anda perlu tunggu atau perlu naik ke tingkat atas dan sebagainya. Jika berurusan melalui email, semasa pendaftaran dengan penyambut tamu pejabat/securiti, mereka akan menghubungi staff tersebut bagi pihak anda.

– Berpakaian kemas/pejabat. Syarikat yang anda mohon itu mungkin mempunyai polisi pakaian kasual, akan tetapi, pakaian ke pejabat yang kemas semasa temuduga adalah penting, menunjukkan kesungguhan dan peribadi anda. Itu juga adalah kali pertama anda bertemu muka dengan bakal bos anda, penampilan, postur badan adalah benda pertama yang mereka nampak.

– Semasa memasuki bilik temuduga, atau dijemput oleh penemuduga di ruang tamu pejabat, salam/jabat tangan. Juga semasa masuk ke bilik temuduga, bersalam/berjabat tangan dengan penemuduga (kali pertama bertemu).

– Duduk bila diminta duduk, dan agihkan resume kepada penemuduga. Jikalau penemuduga ramai, minta maaf sebab tak sediakan lebih. Ada kalanya HR/recruit person dah sediakan fotokopi resume, anda boleh simpan kembali dokumen yang anda sediakan, boleh digunakan untuk temuduga di syarikat lain.
– Soalan-soalan lazim temuduga adalah, “tell us about yourself”. Masa ini tiada jawapan yang betul, terpulang kepada anda mahu bercerita tentang apa saja. Biasanya, asal, umur, sekarang menetap di mana, bidang study, kenapa minat dengan kerja yang di pohon dan rancangan masa depan.

Rancangan masa depan juga adalah salah satu soalan lazim. Contoh; apa rancangan anda untuk sekian tahun akan datang, sila jawab sesuai dengan jawatan yang dipohon. Jawapan kepada soalan ini adalah penting, membezakan seseorang yang mempunyai visi dan rancangan diri masa depan, dari mereka yang hidup mengikut arus dan tiada hala tuju.

Soalan lazim lagi, tempat tinggal. Banyak berkaitan dengan bidang kerja yang memerlukan mereka yang menepati masa, tidak menjadikan “traffic jam” sebagai alasan datang lambat setiap hari.

Tips bagi mereka yang datang dari kampung menumpang kawan atau datang dari luar kawasan : Bolehlah jawab sementara waktu saya menetap/menumpang di XXXX, sementara mendapat kerja dan jikalau saya mendapat kerja ini, saya akan menyewa berdekatan pejabat. Ini menunjukkan anda bersedia memberikan komitmen kepada kerja anda.

Akhir sekali, kita akan ditanya sama ada kita mempunyai apa-apa soalan.

Tips :

– Tanyalah berkaitan kerja yang dipohon, contoh : If i got the job, is there any special training for the job ( jika relevan ) ; atau, bertanya tentang bila keputusan temuduga ini akan diketahui dan sebagainya.

– Elakkan bertanya tentang gaji/benefits dan berkaitan. Perkara ini boleh dibawa berbincang semasa anda mendapat berita anda lulus temuduga. Masa inilah anda perlu anda perlu betul-betul berbincang soal gaji, kandungan kontrak dan sebagainya. (Sila ambil nota kaki: Sangat penting untuk anda jelas dengan ikatan perjanjian anda sebelum tanda tangan kontrak kerja)

– Jika di tanya tentang gaji semasa interview, jawablah dalam “range” gaji yang di tawarkan dalam iklan; atau jika permohonan pekerjaan itu melalui “internal reference ” rakan atau saudara, sila bertanya rakan/saudara anda berapa “range gaji” jawatan tersebut untuk fresh grads, anda boleh menjawab dalam “range” tersebut.

Bila selesai interview, senyum dan salam/jabat tangan sekali lagi, ucap terima kasih (contoh: Thanks for your time) ~ Keluar dari bilik dengan sopan.

Ada kalanya “bakal bos” anda akan iring anda hingga ke pintu depan/ depan lift, ketika ini, anda bolehlah berbual secara sedikit kasual (small talk) seperti mengaku yang anda ada sedikit rasa gugup, atau bertanya berapa lama beliau sudah bekerja di situ dan sebagainya, untuk memecahkan suasana sunyi sepi krik krik krik…

Beberapa hari selepas temuduga tapi tiada khabar berita, tidak salah untuk anda membuat “follow up” dengan HR yang berurusan dengan anda bertanyakan keputusan temuduga (sekali sahaja, jangan terlalu kerap).

Jangan bersedih sekiranya tidak mendapat berita gembira, yakinlah yang rezeki anda berada di tempat lain. Jika anda mendapat pekerjaan tersebut, sila kekalkan sopan santun dan kesungguhan anda semasa bekerja.

Sekian, selamat maju jaya!

– Kak Long hangpa –

Ingin menghantar confessions anda? Sila klik disini
Advertisement
PERINGATAN
Pihak IIUM Confessions Media tidak akan bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri. Sila tinggalkan sebarang komen yang membina dan sebarang komen berkaitan dibawah.
 

Masukkan kata carian dan tekan Enter atau Go